Apabila anda mengenali diri dengan lebih baik, anda akan mudah untuk melakukan tindakan positif yang seterusnya dalam mencipta kejayaan. Sesetengah orang tidak mengenali diri sendiri. Sebagai contoh, kelemahan dan kekuatan diri. Terdapat pelajar yang merasakan mereka melakukan sesuatu yang betul bila berkawan yang melalaikan daripada belajar. Bagi mereka dengan menipu guru, melanggar disiplin sekolah merupakan sesuatu yang hebat.
Akhirnya penglibatan yang melampau dalam aktiviti negatif menyebabkan mereka gagal dalam belajar. Pelajar yang sebegini sepatutnya banyak melakukan muhasabah diri agar mereka mengenali diri dengan lebih baik. Seterusnya, mereka perlu merancang untuk mencipta kejayaan.
Berasal daripada setitis air yang hina, kita tiada nilai apa-apa. Kita berjumpa dengan pasangan kita di dalam rahim ibu. Kita begitu lemah sehingga kita terpaksa berkongsi makanan ibu. Kita makan apa yang ibu makan tanpa memilih. Kemudiannya kita dilahirkan dalam keadaan tiada mempunyai apa-apa. Tiada pakaian, tiada wang, tiada kekuatan untuk menjaga diri sendiri serta tidak mampu berjalan; tidak seperti anak lembu yang boleh terus berjalan setelah beberapa minit dilahirkan.
Kita hanya menangis, itulah bahasa yang kita tahu. Orang terpaksa meneka mengapa kita menangis sama ada sakit atau lapar. Begitulah lemahnya kita. Pun begitu, lama-kelamaan kita mempunyai kekuatan tersendiri...mampu berjalan, bercakap, ketawa, berdikari dan sebagainya. Kita membesar dan pergi ke sekolah.
Sayangnya apabila sudah berdikari, terdapat pelajar yang semakin lupa asal usul diri mereka. Daripada asal usul yang lemah mereka berani melawan ibu bapa dan peraturan yang telah ditentukan penciptanya, iaitu Allah Yang Maha Perkasa. Mereka tidak solat, menjadi anak derhaka, melanggar peraturan, agama, sekolah dan negara!
No comments:
Post a Comment